Neymar vs Cavani

Unai Emery menjangkakan Edinson Cavani dan Neymar untuk mencapai persetujuan dalam menentukan siapakah pengambil sepakan penalti utama Paris Saint-Germain (PSG).

Kedua-dua pemain kelihatan bertengkar ketika pengadil menghadiahkan sepakan penalti dalam kemenangan 2-0 ke atas Olympique Lyon, awal pagi tadi.

Cavani dan Neymar — pembelian rekod termahal dunia dengan GBP200 juta (RM1.1 bilion) bertengkar pada minit ke-79 berkaitan siapakah yang seharusnya mengambil sepakan tersebut.

Penyerang Uruguay itu kemudian memenangi pertengkaran tersebut, namun gagal menyempurnakan sepakannya.

Pengendali PSG, Emery ,mahu kedua-dua pemain itu menentukan siapakah yang bertanggungjawab menggalas tugas tersebut, namun akan masuk campur seandainya keadaan memaksa.

“Sepakan itu perlu diambil kedua-dua pemain,” kata Emery.

“Perkara ini memerlukan persetujuan ‘gentleman’ jika mahu menyelesaikan persengketaan ini.

“Selepas itu, kami akan menyusun siapakah yang akan dipertanggungjawabkan kerana kedua-dua pemain mampu melakukannya.

“Jika tiada persetujuan, saya yang akan menentukan. Saya tidak mahu perkara remeh ini membawa masalah kepada pasukan.”

Mengenai perlawanan tersebut, Emery berkata: “Kami menghormati kejohanan ini dan musim lalu kami tewas dalam kedua-dua pertemuan. Hari ini, kami mahu menang dengan sedikit kesukaran tetapi kami perlu sedar, penting untuk menang ketika pasukan sedang bergelut.

“Selepas 90 minit, kami layak menang. Lyon mendapat beberapa peluang tetapi sepanjang 90 minit, kami mendahului daripada pelbagai aspek.”

Ini merupakan kekalahan pertama Lyon musim ini dan mereka hampir pasti kecewa gagal membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata selepas mempamerkan aksi mantap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *