Di Mana Silap Kita?

RUANGAN INI ADALAH KOMENTAR SALAH SEORANG DARIPADA ADMIN / FOUNDER MULUTPUAKA.COM

 

Sebelum kita bermula, elok saya perkenalkan diri dahulu. Nom De Guerre (nama dikenali) saya adalah ZeroFoxtrot aka ZF0. Minggu lalu kita dikejutkan dengan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) yang mengorbankan 21 pelajar tahfiz dan dua guru.

 

 

Pada peringkat awal, ia adalah mirip senario tragedi yang berlaku pada 22 September 1989 di Madrasah Taufiquah Al-Khairiah atau ‘Pondok Pak Ya di Guar Chempedak, Kedah. Dalam kejadian itu 27 pelajar termasuk kanak-kanak perempuan menemui syahid.

Namun, wujud dua jurang paling besar dalam tragedi ini iaitu insiden Pondok Pak Ya adalah kebakaran akibat api pelita atau api lilin. Ketika itu tidak ada komunikasi seperti sekarang, makanya agak sukar untuk misi menyelamat.

Berbeza dengan DQI, insiden minggu lalu jelas menunjukkan satu kesalahan masyarakat. Pernah atau tidak kita terfikir, remaja belasan tahun terfikir untuk merancang satu komplot jenayah. Bukan jenayah mencuri gula-gula di kedai, tetapi komplot membakar sebuah pusat tahfiz hanya kerana ejekan.

 

Tragedi Pondok Pak Ya

 

Ejekan itu umpama dendam kesumat yang mesti dibayar walau apa jua cara sekali pun. Meletakkan petrol, meletakkan tilam (mungkin jenis foam yang mudah terbakar) dan meletakkan tong gas sebagai pemangkin api, lalu dicucuh api. Remaja ini kembali ke rumah mereka. Itu mungkin fakta daripada pihak polis.

Akibatnya, 23 nyawa terkorban, bukan satu atau dua, bukan nyawa haiwan ternakan, tetapi nyawa manusia dan ketika itu mangsa mampu untuk menjerit meminta tolong sehingga suara mereka sunyi sepi. Jika pelaku itu tidak trauma atau rasa bersalah, pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Berdasarkan laporan NST sebentar tadi memetik berkata, sumber pihak berkuasa melihat tujuh individu ini tidak memperlihatkan rasa bersalah dan dalam keadaan bersahaja.

Mari saya jelaskan, jangan kita menjadi hakim pula. Hukum itu dan ini. Tuding jari itu tidak betul, itu tidak SOP, begitu dan begini. Tujuh remaja ini adalah adik-adik kita, adalah anak-anak kita semua. Di mana silapnya kita semua sehingga lahir kelompok kecil yang sanggup melancarkan komplot jenayah semata-mata mungkin ejekan atau rebutan padang futsal.

Kita ini sekarang hidup di zaman apa ya. ‘Barbaric’ mungkin, apabila segala kesalahan, perselisihan diletakkan pada tangan sendiri. Saya yakin, apa yang berlaku ini pasti Allah ingin mengajar kita sesuatu.

Sebagai satu anggota masyarakat sebenarnya insiden ini meletakkan penilaian kepada kita semua bahawa betapa kita gagal dalam mengajar adik-adik kita ini tentang perihal mana letak duduknya adab, hilangnya penilaian akal waras dan lenyap sebuah kewarasan serta keprimanusiaan.

Mungkin bagi sesetengah pihak, akan berkata begini.. “ahh.. mereka ini pengaruh dadah, kepala tengah stone.. sebab tu berani buat begitu”. Ada betulnya tetapi biarpun mereka khayal dan istilah ‘stoned’ itu, mana mungkin hilang sekelumit waras walau satu peratus sekali pun.

Tragedi ini akan terpahat selamanya dalam sejarah, mungkin yang paling buruk dalam sejarah. Sudahlah menghentam tahfiz itu dan ini, hentaman itu tidak menyelesaikan masalah. Mari kita fikir sejenak, apa tanggungjawab kita untuk memartabatkan sebuah institusi yang meninggikan Kalammuallah.

Usah kita berbolak balik, mari kita rapatkan saf, belajar hikmah yang sedah diberikan oleh Allah. Ibrah daripada insiden ini perlu kita kupas satu persatu. Saya mengharapkan ini insiden pertama (perbuatan khianat) dan terakhir. Cukuplah.

 

YANG BENAR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *