Fathia Digugurkan Dalam Drama

Selepas tular dua video yang mengaitkan aktress Fathia Latiff, kini diberitakan bahawa pelakon wanita itu digugurkan daripada drama kerana masalah disiplin.

Syarikat produksi TenView Sdn Bhd menggugurkan Fathia daripada drama la Luna kerana mendakwa pelakon itu gagal memberi komitmen.

Menurut penerbitnya, Norazah Sahud, Fathia hadir ke lokasi penggambaran dalam keadaan tidak terurus menyebabkan penggambaran yang sepatutnya bersambung di Johor Bahru (JB) pada 14 September lalu terpaksa ditunda.

“Penggambaran drama ini sudah bermula sejak dua minggu lalu di ibu kota, sebelum bersambung di JB. Sepanjang penggambaran di Kuala Lumpur, Fathia tidak menimbulkan sebarang masalah besar.

“Penggambaran di JB sepatutnya bermula bermula jam 9 pagi kelmarin, tetapi Fathia meminta supaya jadual dianjakkan kepada tengah hari. Kami sedia bertolak ansur dan memenuhi permintaannya.

“Masalah timbul apabila dia tiba dalam keadaan tidak bermaya menyebabkan penggambaran terpaksa ditunda.

“Kami cuba berdiplomasi dan masih memberinya peluang tetapi terkilan apabila dia gagal pula hadir ke lokasi penggambaran, semalam tanpa sebarang alasan,” katanya.

Oleh itu, Norazah berkata pihaknya terpaksa menyingkirkan Fathia dan mencari pelakon pengganti kerana enggan mengambil risiko lagi.

“Dengan apa yang berlaku, ia menyusahkan kami dan sebagai pengajaran, kami sedang berbincang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Ketika ini, penggambaran terpaksa ditangguhkan dan hanya akan disambung semula Selasa ini,” katanya lagi.

Penerbit drama itu turut mendedahkan bahawa semasa perbincangan berkenaan projek itu enam bulan lalu,Fathia telah berjanji akan memberikan komitmen penuh.

“Saya pada mulanya agak ragu untuk menawarkan Fathia watak itu, tetapi selepas diyakinkan pengurus produksi, Kam Abdul Manap, saya bersedia memberinya peluang.

“Semua berjalan dengan baik pada awal, tetapi lain pula yang terjadi apabila penggambaran diteruskan di JB,” dakwanya.

Semalam (Ahad), nama Fathia terpalit dengan kontroversi apabila dua buah rakaman video di aplikasi Bigo Live bersama pelakon baharu, Natasha Elyzza, menampakkan kelibat seorang wanita yang dikatakan mirip dirinya.

Namun, Natasha menafikan dakwaan itu dan memohon maaf atas kesalahannya itu. -MyNewsHub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *