Akauntan Rugi RM100,000 Balas Cinta Tok Arab

 

SEORANG Wanita yang juga akauntan kerugian RM100,000 selepas diayat lelaki dari Arab Saudi bernama Mikhail.

Mangsa berusia 31 tahun mendakwa berkenalan lelaki kononnya dari Arab Saudi bernama Mikhail berusia 35 melalui laman sosial TWOO.

Mangsa berkenalan sejak Ogos lalu sehinggalah bertukar nombor telefon antara kedua-duanya.

Menurut fakta kes, pada 14 Ogos mangsa dihubungi kekasih baru dikenalinya mendakwa barangan dihantar jam tangan, rantai emas dan beg tangan ditahan di Johor.

Mulutpuaka dimaklumkan, tidak lama kemudian mangsa dihubungi Mikhail menjelaskan perkara berkenaan. Tidak lama kemudian mangsa dihubungi agensi yang kononnya menahan barangan berkenaan sebelum diarahkan mangsa membayar RM5,750 sebagai denda.

Mangsa pun berbuat demikian dengan memasukkan wang di cawangan Mybank Alam Damai.

Keesokan harinya, mangsa dihubungi agensi itu sekali lagi mendakwa barangan tidak dapat dilepaskan kerana perlukan tandatangan pengirim.

Seminggu kemudian, Mikhail menghubungi mangsa mendakwa berada di Johor selepas mengambil penerbangan dari Jakarta.

Mikhail mendakwa perlukan wang sebanyak RM11,500 atas penalti kerana gagal ikut prosedur agensi. Sekali lagi mangsa masukkan wang ke nombor akaun diarahkan Mikhail.

Episod memasukkan wang dan barangan dihalang oleh agensi itu berlarutan sehinggalah 5 September lalu.

Setiap kali ditahan atas pelbagai alasan, Mikhail akan menghubungi mangsa untuk memasukkan wang kepada akaun tertentu.

Akauntan yang kemaruk hendak bercinta dengan Tok Arab itu ataupun bahasa mudahnya sedang angau tanpa banyak cekadak memasukkan wang ke akaun diarahkan kekasihnya yang dia sendiri tidak pernah temui.

Natijahnya, selepas hampir RM100,000 diperoleh Tok Arab itu, Mikhail ghaib apabila mangsa dakwa sudah tidak punya wang lagi.

Ketika itu barulah mangsa sedar dia tertipu dengan lelaki terbabit yang kononnya berasal dari Arab Saudi.

Mulutpuaka yang melakukan semakan dengan pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman mendapati Mikhail bukanlah berasal dari Arab Saudi sebaliknya adalah sekumpulan warga Afrika yang terkenal dengan Scam.

Ribuan mangsa membabitkan kerugian bernilai jutaan ringgit direkodkan Bukit Aman setiap tahun hasil kelicikan kumpulan Afrika itu.

Sepanjang membabitkan diri dalam dunia kewartawanan jenayah ini, taktik menyamar berasal dari Arab Saudi antara modus operandi terbaru. Selalunya sindiket menyamar sebagai Mat Salleh ataupun bangsa Eropah bagi perdaya mangsa di Malaysia.

Mulutpuaka nasihatkan supaya orang ramai lebih berhati-hati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *