TAHFIZ: Angkara Dendam, Tujuh Individu Direman

Akibat dendam dan perselisihan faham antara pelajar di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dengan sekumpulan individu lain dipercayai menjadi punca pusat tahfiz itu dibakar.

 

Susulan itu, polis menahan tujuh individu berkenaan kerana dipercayai terbabit dalam unsur khianat untuk membakar tahfiz berkenaan sehingga mengakibatkan kematian 23 individu termasuk dua guru.

Daripada tujuh yang ditahan, lima dipercayai penduduk kawasan berhampiran Kampung Dato Keramat yang berusia 16 hingga 18 tahun, manakala tiga lagi pelajar tahfiz berkenaan dipanggil bagi membantu siasatan.

Sumber polis memaklumkan bahawa beberapa hari sebelum kejadian berlaku perselisihan antara pelajar sekolah tahfiz dan suspek dikatakan tidak berpuas hati serta ingin membalas dendam berhubung insiden itu.

“Suspek dikatakan berpakat untuk mencuri telefon bimbit di dalam asrama pusat tahfiz itu awal pagi hari kejadian. Kira-kira jam 2 pagi, semua suspek berkumpul di sebuah kedai dan berbincang untuk membakar pusat tahfiz berkenaan.

“Beberapa jam selepas itu, dua suspek membeli minyak petrol di sebuah stesen minyak dan mengisinya di dalam botol air. Semua suspek kemudiannya berkumpul berhampiran dengan pusat tahfiz itu dipercayai untuk meneruskan niat membakar sekolah berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, tiga suspek lain memasuki pusat tahfiz itu melalui pintu belakang untuk membakar manakala dua lagi suspek menunggu di luar pagar sekolah.

 

“Suspek kemudiannya mengambil tilam dan meletakkan ke pintu masuk asrama di Tingkat dua dan tiga suspek lain pergi ke sebuah kedai berhampiran untuk mencuri dua tong gas.

“Dua tong gas itu dibawa naik ke tingkat tiga pusat tahfiz berkenaan. Suspek kemudiannya mencucuk dengan menggunakan lidi di muncung kepala gas supaya gas keluar manakala seorang lagi suspek mencurahkan minyak petrol di hadapan pintu masuk asrama.

“Suspek menyalakan api menggunakan pemetik api dan semua mereka melarikan diri menghala ke rumah masing-masing

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *