RUGI RM21.4 Juta Angkara Macau Scam

Jumlah kerugian mencecah RM21.4 juta. Itu nilai jumlah kerugian yang ditanggung mangsa akibat kes penipuan atau ‘Macau Scam’.

Berdasarkan hasil laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima 694 laporan membabitkan kerugian berjumlah RM21.4 juta berhubung kes ‘Macau Scam’ di antara Januari-Ogos tahun ini.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani, berkata, pihaknya menerima banyak panggilan awam bagi mendapatkan pengesahan dan membuat pertanyaan berhubung panggilan yang diterima.

“Sejak kebelakangan ini, kes penipuan melalui panggilan telefon atau dikenali sebagai Macau Scam kembali mendapat perhatian.

“Sehingga ini, pelbagai usaha dan operasi dijalankan secara berterusan bagi mengekang kegiatan itu,” katanya.

Acryl berkata, modus operandi digunakan sindiket itu adalah menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah atau dari syarikat pengutip hutang.

 

 

“Nombor telefon tertera kebiasaannya kepunyaan agensi atau jabatan berkaitan yang dipalsukan sindiket itu menggunakan kaedah khas.

“Mangsa akan dimaklumkan bahawa perbuatan itu dirakam dan tidak membenarkan mereka memaklumkan kepada orang lain.

“Sindiket ini memaklumkan kepada mangsa bahawa mereka mempunyai hutang atau tunggakan bayaran dan diminta untuk menjelaskannya dengan segera,” katanya.

Beliau berkata, mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran atau pemindahan wang dalam waktu singkat iaitu kurang satu jam.

“Nombor akaun yang digunakan sindiket itu kebiasaannya atas nama individu.

“Sekiranya bayaran tidak dibuat, mangsa diugut akan ditangkap pihak berkuasa dan akaun bank mereka akan disita,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila mendapat panggilan telefon sedemikian.

“Jangan mudah percaya dakwaan yang dinyatakan pihak terbabit dan jangan sesekali memberikan sebarang maklumat peribadi seperti kad pengenalan, maklumat akaun bank dan lain-lain.

“Sekiranya bimbang dengan kesahihan dakwaan itu, tamatkan perbualan dan lakukan semakan terperinci dengan agensi berkaitan.

“Orang ramai diingatkan bahawa bank sama sekali tidak akan meminta pengesahan nombor akaun, bertanyakan ‘challenge question’, arah tukar nombor PIN atau membuat pindahan wang melalui panggilan telefon,” katanya.

Katanya, semua agensi kerajaan juga tidak akan menghubungi orang awam untuk meminta sebarang bayaran sama ada cukai, saman, bayaran perkhidmatan atau pindahan wang dibuat ke dalam akaun persendirian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *