GLOBAL: 20 Imam dan Ulama Ditahan Polis Arab Saudi

Lebih 20 imam dan ulama ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi dalam satu operasi dramatik bagi mengekang ‘suara’ pembangkang atau berbaur anti kerajaan di negara itu.

Seorang imam terkemuka iaitu Salman al-Odah dan Awad al-Qarni antara imam serta ulama yang ditahan oleh negara Arab berkenaan sejak operasi itu dilaksanakan hujung minggu lalu.

 

 

Namun pada Selasa lalu, media milik pemerintah menyatakan terdapat sekelompok individu yang bertindak bagi pihak asing dan dikesan cuba melakukan aktiviti penentangan terhadap pihak kerajaan, sudah pun ditangkap.

Identiti kesemua individu itu bagamanapun tidak didedahan, tetapi sebuah sumber menjelaskan bahawa mereka dituduh melakukan aktivitas pengintipan dan berhubungan dengan ejen asing, termasuk Ikhwanul Muslimin.

Gerakan Islam tersebut yang dianggap sebagai sebuah organisasi pengganas oleh pihak keselamatan Arab Saudi, selama ini menjadi punca pertelagahan antara kerajaan negara itu dan tetangganya Qatar beberapa bulan lalu.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar pada Jun lalu, dengan menuduh pemerintah Doha sejak sekian lama secara rahsia menaja kelompok pengganas serantau.

Qatar mengakui pernah memberikan pelbagai jenis bantuan kepada Ikhwanul Muslimin, namun membantah tuduhan konon ada menyumbang dana untuk pengganas ada kaitan dengan militan al-Qaeda atau Daesh.

Aktivis hak asasi manusia berpusat di Britain, Yahya al-Assiri mengatakan kepada Wall Street Journal, punca al-Odah dicekup pada Sabtu lalu hanya kerana tidak menyatakan sokongan terhadap dasar Riyadh berdepan Doha.

Jumaat sebelumnya, al-Odah menyatakan harapan menerusi Twitter bahawa perbualan telefon Putera Mahkota Saudi Mohammed Salman dan Putera Qatar, Emir Sheikh Tamim Hamad Al Thani bakal mengakhiri sengketa.

Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi kemudian mengumumkan, mereka menangguhkan semua dialog dengan Qatar, seraya menuduh negara jiran itu ‘seleweng fakta’ melalui satu kenyataan mengenai percakapan putera tersebut.

Al-Odah, yang dahulunya terkenal dengan pandangan keagamaan agak ekstrem dan pernah dipenjara dari 1994 hingga 1999 kerana mendorong perubahan politik, adalah imam popular dengan 14 juta pengikut di Twitter.

Manakala al-Qarni, yang ditahan di Abha pula dilaporkan menyerukan diadakan hubungan yang lebih baik dengan Qatar. Aspirasi beliau itu disuarakan melalui akaun Twitter miliknya, yang mempunyai dua juta pengikut.

Pada Rabu lalu, beberapa aktivis mengumumkan senarai tokoh ternama lain yang dipercayai telah pun ditahan, termasuk beberapa imam, ilmuwan akademik, penyampai stesen televisyen dan seorang penggiat sastera.

Beberapa dari kalangan mereka bagaimanapun tidak memiliki hubungan yang jelas dengan pandangan aliran politik Islam atau latar belakang sejarah sebagai pernah menentang sistem pemerintahan beraja mutlak Arab Saudi.

Untuk rekod, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi telah mewajibkan semua warga tempatan untuk melaporkan setiap kenyataan disiarkan menerusi media sosial jika didapati mempromosikan ‘tema pengganas atau pelampau’.

Ia dilaksanakan melalui satu aplikasi telefon pintar dilancarkan tahun lalu. Dalam isu lain, pihak berkuasa mengingatkan pengguna Twitter bahawa menjejaskkan reputasi atau imej negara merupakan kejahatan teroris.

Ini ekoran kemunculan sebuah kelompok pembangkang tempatan yang menamakan diri mereka sebagai ‘Gerakan 15 September’ dan mengeluarkan seruan untuk melakukan demonstrasi secara aman pada Jumaat minggu lalu.

Mereka malah mendesak pihak berkuasa mengatasi isu kemiskinan, meningkatkan hak golongan wanita dan membebaskan tahanan politik daripada tahanan. Tunjuk perasaan dilarang di Arab Saudi dan boleh dipenjara. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *