Plan Bangunan Pusat Tahfiz Tak Ikut Piawaian

Kuala Lumpur: Proses ubahsuai dilakukan pemilik Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat di sini, menghalang laluan keluar kedua.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Wira Wan Mohd Wan Ibrahim yang berkata, semakan pihaknya mendapati pusat tahfiz berkenaan menjalani proses ubahsuai sehingga menutup laluan keluar kedua pada premis itu.

“Mereka (pemilik) tidak merujuk semula plan bangunan yang sudah diubahsuai kepada kita. Jika diteliti plan terkini sudah tidak sama dengan plan asal yang
diluluskan,” katanya.

Wan Mohd berkata, pemilik premis itu sememangnya menghantar plan bangunan kepada JBPM.

“Kita dah teliti plan asal itu, bangunan ada dua laluan keluar sebelum ia diluluskan. Tapi, pemilik membuat ubahsuai dan gagal maklumkan plan terkini kepada kita.

“Proses ubah suai itu menghalang laluan keluar kedua (berbanding plan asal) yang mana dalam insiden semalam, ramai mangsa terperangkap apabila satu-satunya laluan keluar terhalang,” katanya.


Menurutnya, insiden berkenaan mungkin tidak seburuk itu sekiranya pemilik premis mementingkan aspek keselamatan.

“Aspek keselamatan suatu yang amat penting. Kos memang tinggi bagi sediakan aspek keselamatan tetapi jika kehilangan satu nyawa dalam kebakaran, ia lebih merugikan,” katanya.

Dalam kebakaran awal pagi semalam, 21 pelajar dan dua guru maut selepas terperangkap di tingkat tiga premis berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *