3 Remaja Antara 161 Tahi Dadah Ditahan

APA nak jadi, 3 remaja bawah umur antara 161 penagih yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu dalam Ops Perdana yang dijalankan serentak membabitkan empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Besut, Dungun dan Kemaman.

Selain tiga remaja bawah umur berusia antara 13 hingga 18 tahun, tiga wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun turut ditahan dalam operasi bermula jam 10 malam kelmarin hingga 10 pagi ini.


Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan AADK Terengganu Wan Jalani Wan Ismail berkata, serbuan dilakukan di beberapa lokasi panas yang menjadi sarang penagih termasuk di ladang kelapa sawit, di bawah jeti dan kediaman.

“Antara lokasi serbuan adalah kawasan jeti nelayan di Kuala Dungun dan kawasan ladang di Ketengah Jaya di Dungun sementara di Kemaman, ia membabitkan kawasan ldi Kampung Binjai, Seri Bandi dan Kijal hasil maklumat serta intipan dijalankan.

“Sehingga jam 10 pagi ini, seramai 161 daripada 186 orang berusia 13 hingga 50 tahun yang diperiksa positif dadah jenis morfin, amphetamine dan methamphetamine.

“Kita turut merampas tiga tiub dan satu botol dadah jenis heroin, 165 biji pil kuda daan satu plastik air ketum dengan nilai rampasan RM3,300,” katanya pada sidang media di pejabat AADK di Kuala Terengganu hari ini.

Wan Jalani berkata, tiga wanita yang ditahan dibawa ke Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC) di Bachok, Kelantan manakala selebihnya dihantar ke pusat tahanan reman AADK di Gambang, Pahang dan Pasir Mas, Kelantan.

Beliau berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(a), Seksyen 4 (1)(b), Seksyen 8 (3)(a) dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“Operasi sama turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS),” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *