ROHINGYA: ARSA – Tiada Al-Qaeda di Rakhine

Lebih daripada 300,000 etnik Rohingya dipaksa melarikan diri daripada tanah nenek moyang mereka di Myanmar iaitu Rakhine selepas pihak tentera Myanmar dan militia yang mendukung kerajaan melakukan kekejaman terhadap etnik itu.

Tindakan kejam seperti bunuh, penyeksaan, membakar kediaman dan rogol adalah perbuatan ‘biasa’ bagi pihak tentera sehingga mengakibatkan Rohingya melarikan diri demi menyelamatkan nyawa dan maruah.

Terkini, penghijrahan besar-besaran yang bermula 25 Ogos lalu berpunca daripada tindakan ketenteraan kerajaan Myanmar yang mahu ‘membersihkan’ Rakhine daripada Rohingya.

Bagi pihak kerajaan Myanmar, angka kematian dianggarkan 400 saja membabitkan golongan puak pemisah dan tidak membabitkan orang awam Rohingya.

Jelas, ia suatu pembohongan yang mahu dibuat apabila rekod menunjukkan lebih 1,000 etnik berkenaan dibunuh malah ratusan ribu lagi dipaksa melarikan diri.

 

SIAPAKAH PUAK PEMISAH INI?

 

Mereka dikenali dengan nama ARSA atau Tentera Solidariti Rohingya Arakan (The Arakan Rohingya Solidarity Army – ARSA), sebelum ini dikenali sebagai nama HARAKATUL YAKEEN.

Kumpulan ini bermula pada Oktober 2016 apabila menyerang tiga polis di pos kawalan sekitar Maungdaw dan Rathedaung yang membunuh sembilan yang lain.

Pada Oktober lalu, ketua kumpulan ini iaitu Ataullah Abu Amar Jununi menyiarkan video berdurasi 18 minit yang menyokong tindakan membunuh polis Myanmar itu kerana keganasan serta tekanan yang diberikan kepada Rohingya selama ini.

“Sejak 75 tahun lalu, pelbagai jenayah dan perbuatan jahat sudah dilakukan terhadap masyarakat Rohingya… Itu adalah punca kami melancarkan serangan. Ini adalah mesej jika keganasan tidak berhenti, kami berhak mempertahankan diri,” katanya dalam video itu.

Seorang penyelidik di Pusat Kajian Keganasan Eropah, Maung Zarni memberitahu bahawa tindakan ARSA adalah hasil perbuatan ganas serta kejam pihak berkuasa Myanmar.

“Ini bukan kumpulan pengganas yang mensasarkan lokasi tumpuan di Myanmar dan mengorbankan orang awam. Mereka menyerang secara strategik iaitu kepada pihak berkuasa.

“Kumpulan ini hanya mahu melindungi masyarakat mereka daripada terus menjadi mangsa kepada kekejaman pihak lain,” katanya.

 

SUMBER-AL Jazeera

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *