Konvoi Negaraku ‘Serang’ Telok Batik

Deruman enjin motosikal di Dataran Teluk Batik baru-baru ini mengejutkan orang ramai yang berada di sekitarnya.

Namun, ia bukanlah daripada samseng jalanan, sebaliknya lebih 1,000 ahli Kelab Rots Malaysia menganjurkan konvoi Negaraku ke Teluk Batik bagi mengisi kalendar program sepanjang tahun.

Berkonvoi daripada ibu negara, mereka bersemangat bersama rakan-rakan ahli, memerah pendikit minyak sebelum tiba ke situ setelah melalui enam jam perjalanan.

Presidennya Mohd Noor Maula berkata, ia diadakan untuk memupuk silaturahim antara ahli selain mengisi program secara lebih patriotik.

Menurutnya, sesuai dengan sambutan kemerdekaan negara, idea berkonvoi dalam jumlah ramai itu timbul untuk menunjukkan sikap cintakan negara dengan menyertai aktiviti lebih bermanfaat.

“Rata-rata ahli Rots sukakan permotoran. Daripada merempit sehingga membahayakan nyawa, baik kami anjurkan konvoi dari Kuala Lumpur ke Teluk Batik.

“Kami namakannya konvoi Negaraku kerana melalui konvoi itu, kami saling mengenai antara satu sama lain, selain saling membantu sepanjang konvoi selama tiga hari. Alhamdulillah, semangat untuk berbakti kepada masyarakat semakin mendalam,” katanya.

Mohd Noor berkata, kelab berkenaan ditubuhkan pada 1996 dan pada peringkat awal, mereka dikenali sebagai Kelab Shell dan pelbagai aktiviti diadakan sebelum ini.

“Insya-Allah kami akan teruskan lagi pada masa depan kerana inilah masanya kami berkumpul beramai-ramai. Kebanyakan ahli adalah rakan lama sejak kelab ditubuhkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *