Dua Peragut Dicekup Orang Awam

Dua lelaki nyaris dibelasah orang ramai selepas mereka terjatuh dari motosikal yang dinaiki ketika cuba meragut seorang wanita, Isnin malam.
Dalam kejadian lebih kurang pukul 8 malam itu, mangsa yang merupakan wanita warganegara Indonesia berusia 19 tahun itu sedang menggunakan telefon bimbit sementara menunggu perkhidmatan Uber di Jalan Kenyalang, Larkin, sebelum didatangi kedua suspek.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais berkata, kedua suspek kemudiannya menghampiri mangsa dengan menggunakan motosikal mereka sebelum salah seorang daripadanya bertindak merampas telefon bimbit milik wanita tersebut.
“Tanpa disedari salah seorang suspek yang merupakan pembonceng motosikal telah bertindak merampas telefon bimbit mangsa yang ketika itu berada di tepi jalan.
“Mangsa dalam keadaan terkejut terus menjerit minta tolong selain bertindak menarik beg sandang milik pembonceng motosikal yang mengakibatkan kedua-duanya jatuh,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
​​​​​Shahurinain berkata, sebaik sahaja terjatuh dari motosikal, kedua suspek bagaimanapun gagal untuk melarikan diri kerana mereka terus dikepung orang ramai yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.
“Suspek yang masing-masing berusia 31 dan 22 tahun itu terus dipegang orang ramai.
“Kejadian turut menyebabkan kekecohan di kawasan sekitar selain menghalang trafik,” katanya.
  Beliau berkata, telefon bimbit itu kemudian dikembalikan kepada mangsa sementara kedua suspek diserahkan kepada anggota peronda yang bertugas untuk dibawa ke Balai Polis Larkin bagi tindakan lanjut.
  “Siasatan awal mendapati kedua mereka mengaku telah melakukan ragut terhadap mangsa wanita terbabit.
  “Kita juga akan jalankan semakan mengenai penglibatan mereka dalam mana-mana kes samun atau ragut di sekitar kawasan ini,” katanya.
  Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan berkumpulan- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *